Friday, June 11, 2010

IPTA ke IPTS???

Kalau diikutkan keputusan SPM memang dah lama keluar.  Waktu ni lah ramai pelajar lepasan SPM yang sibuk semak status keputusan kemasukan ke IPTA. Kalau bernasib baik, dapat lah merasa belajar di IPTA. Kalau tidak, terpaksalah terima tawaran ke IPTS. Bagi pelajar yang tak ambil kisah sangat nk ke IPTA atau IPTS, ia tidak menjadi masalah. Terima sahaja yang mana-mana, asalkan boleh belajar. Tetapi, apa pula ceritanya bagi pelajar yang betul-betul berharap dapat masuk ke IPTA. Sampai sanggup telefon berkali-kali ke pejabat universiti pilihan. Semata-mata ingin bertanya kenapa tidak terpilih, apa yang silapnya, dan ada pula yang sanggup merayu maraih simpati pegawai di sana. Mereka bagaikan putus harapan. Sanggup tunggu hingga tawaran kedua dibuka. Hmmmm....pelik bukan? tapi inilah hakikatnya.

Cuba anda fikir fikir kan semula. Di mana salahnya? Salah pelajar yang terlampau berharap atau salah pelajar dan ibu bapa yang terlampau memilih? Jikalau dilihat pada sejarah, sememangnya pada 10 ke 20 tahun lepas IPTA menjadi pilihan utama pelajar dan ibu bapa. Ini disebabkan IPTA adalah satu-satunya jalan terbaik untuk meneruskan pelajaran dan membina masa depan yang lebih cerah. Lebih-lebih lagi IPTA memberikan kemudahan pembelajaran yang lengkap. Dewan kuliah yang cukup besar, perpustakaan yang mempunyai buku-buku dan risalah-risalah yang lengkap untuk setiap kos yang ditawarkan, kemudahan teknologi yang cukup lengkap, dan apa sahaja lah. Dalam erti kata lain, semuanya ada. Pensyarahnya juga bagus-bagus. Semuanya memegang  ijazah sarjana muda dan ke atas. Memang hebat..!! Sebab inilah juga ramai graduan yang lulus dengan cemerlang pada ketika itu.

Itu cerita 10 ke 20 tahun dahulu. Sekarang bagaimana?? Adakah sehebat dahulu atau sudah tidak terlawan lagi?? Sekarang dah berlambak IPTS yang wujud bak cendawan tumbuh selepas hujan. Dan boleh dikatakan juga jumlahnya lebih banyak berbanding IPTA. Dah boleh tampung semua pelajar lepasan SPM tiap-tiap tahun. Persoalannya, kenapa masih ada pelajar yang dilaporkan tercicir?

Antara sebab yang paling kerap dilafazkan ialah kos pengajian yang mahal dan takut kemungkinan kolej tersebut tiada kelulusan akreditasi MQA(yang dahulu dikenali sebagai LAN). Malahan baru semalam (10 June) saya mendengar berita di siaran TV3 melaporkan hanya 78 buah kolej yang mendapat kelulusan MQA. Yang berpuluh-puluh lagi tu bagaimana? Inilah yang menjadi trauma bagi para pelajar dan ibu bapa. Mana lah tidaknya, tanpa kelulusan MQA, segala wang dan masa yang dilaburkan hanya sia-sia. Tiada majikan yang akan menerima graduan yang hadir daripada kolej atau universiti yang tiada kelulusan MQA.

Hal ini pernah terjadi kepada seorang sahabat saya. Disebabkan dia tidak mendapat tawaran daripada mana-mana IPTA, dia menerima tawaran sebuah pusat pengajian swasta yang terletak di ibu kota Kuala Lumpur. Hampir RM 16,000 wang yang dikeluarkan untuk menampung kos pengajiannya. Pada awalnya dia tidak sedar kerana beranggapan ia hanyalah salah satu prosedur yang perlu diikuti. Pihak pengurusan berjanji akan menguruskan pinjaman daripada PTPTN atau MARA. Tetapi setelah hampir dua semesta berlalu, janji yang ditaburkan tidak juga dilaksanakan. Padahal sudah beribu-ribu ringit dikeluarkan untuk membayar kos pengajian. Setelah salah seorang ibu bapa pelajar di situ memeriksa status kolej tersebut, mereka dapati kolej tersebut tiada kelulusan MQA. Betapa kecewa pelajar-pelajar tersebut. Lebih-lebih lagi ibu bapa mereka yang banyak melabur untuk pengajian si anak.

Inilah sifat-sifat peniaga yang tidak bertanggungjawab. Kononnya berjanji jika belajar di situ, sudah pasti mendapat kerja yang bagus dengan gaji yang bagus. Konon pensyarah-pensyarahnya berkelulusan daripada universiti luar negara. Siap mendapat gelaran Prof lagi. Huh!! apa lah nak jadi..?? Mengaut keuntungan ke atas insan-insan yang terdesak.

Bagi pelajar lepasan SPM atau sesiapa yang mempunyai ahli keluarga yang ingin melanjutkan pengajian ke menara gading, usahlah terlampau kecewa setelah membaca cerita ini. Saya hanya ingin berkongsi pengalaman. Berhati-hatilah dalam membuat keputusan. Masih banyak lagi IPTS diluar sana yang diiktiraf MQA. Malahan berjaya mengeluarkan graduan yang berkualiti tinggi. Antara kolej yang saya kagumi ialah Kolej Universiti Lim Kok Wing. Memang hebat!!! Infrasrukturnya yang cantik, kemudahan pembelajaran yang cukup canggih serta ruang rekreasinya yang memenuhi kehendak pelajar. Berbaloilah dengan kos pengajiannya yang cukup mahal. Penyarahnya juga hebat-hebat daripada luar negara. Tetapi apa kan daya, hajat tidak kesampaian. Saya hanya mampu ke IPTS murahan sahaja....(^,^)V


Akhir kata daripada saya, berhati-hatilah memilih kolej dan universiti. Hati-hati juga memilih kos pengajian. Jangan sampai tersilap pilih pula. :D
Tidak kiralah di mana pun kita belajar, sama ada IPTA atau IPTS, kita perlu berikan yang terbaik. Bukan nama sesebuah kolej atau sudah berapa tahun kolej itu wujud, yang menentukan masa depan kita. Semuanya terletak pada diri kita sendiri. Bak kata pepatah "Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih".
Jika hajat untuk ke universiti atau kolej impian tidak kesampaian, jadikanlah ia sebagai satu matlamat untuk dicapai di masa akan datang. Mungkin hari ini kita belajar diploma di kolej biasa-biasa sahaja, tetapi mungkin di masa akan datang kita berjaya menyambung pengajian di universiti impian di peringkat lebih tinggi. Seperti yang saya katakan tadi, berusahalah bersungguh-sungguh.

GAMBATE!!


No comments:

Post a Comment